SOKONGAN PENUH AMK TERHADAP HIMPUNAN ‪#‎BERSIH4‬

25 Aug SOKONGAN PENUH AMK TERHADAP HIMPUNAN ‪#‎BERSIH4‬

Angkatan Muda KEADILAN menyokong penuh himpunan #Bersih4 termasuk kesemua tuntutannya iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi Malaysia. AMK berpendirian ini adalah tuntutan zaman bagi generasi muda pada hari ini.

Selari dengan tuntutan-tuntutan ini, AMK juga menuntut agar Anwar Ibrahim, yang dipenjarakan ketika menjawat Ketua Pembangkang Malaysia di atas tuduhan fitnah dibebaskan dengan serta-merta. Hak dan kesihatan beliau mesti dipertahankan.

AMK mengarahkan semua anggotanya menyertai himpunan #Bersih4 pada hujung minggu ini sama ada di Kuala Lumpur bagi yang di Semenanjung Malaysia serta di Kota Kinabalu dan Kuching bagi yang di Sabah dan Sarawak.

Di Kuala Lumpur, AMK akan mula berhimpun di Pusat Membeli-Belah Sogo pada jam 2.00 petang 29 Ogos sebelum berarak ke Dataran Merdeka bersama-sama peserta himpunan #Bersih4 yang lain.

Pasukan keselamatan AMK, SKUAD akan terlibat di dalam pasukan keselamatan #Bersih4 secara rasmi untuk membantu memastikan perjalanan perhimpunan berjalan dengan aman dan selamat untuk semua pihak. Seramai 700 anggota SKUAD dikerah untuk himpunan ini. SKUAD telah menjalani latihan dan diberi taklimat berterusan tentang himpunan #Bersih4.

Peguam-peguam AMK turut akan bertugas membantu pasukan guaman #Bersih4.

AMK turut mengecam tindakan pihak polis yang telah memanggil beberapa orang pimpinan AMK, termasuk Radzlan Jalaludin (Naib Ketua AMK Pusat), Sangeetha Jayakumar (Naib Ketua AMK Pusat), Ridzuan Basri (EXCO AMK Pusat), P. Tharmentra (EXCO AMK Pusat) dan lain-lain lagi untuk disiasat berkenaan “Konvoi AMK – Bersih Merdeka” yang telah diadakan Ahad lalu.
AMK juga menyokong ‪#‎LangkahSiswa‬ ‪#‎OccupyParlimen‬ di mana mahasiswa sudah bermula berkumpul di Bangunan Parlimen untuk mengemukakan tuntutan kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Hak untuk bersuara adalah hak yang termaktub di dalam Perlembagaan. Pihak berkuasa harus menghentikan tekanan terhadap semua rakyat Malaysia yang menggunakan hak tersebut.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA