Selamat Hari Pekerja: Ayuh Rakyat Bangkit!

30 Apr Selamat Hari Pekerja: Ayuh Rakyat Bangkit!

Menjelang Hari Pekerja 1 Mei esok, ayuh rakyat bangkit menolak sistem kapitalis kroni dan rejim percukaian yang menindas rakyat.

Golongan kroni kini seolah-olah mengambil tugas yang sepatutnya dilakukan oleh kerajaan dengan menyerah perlaksanaannya kepada
syarikat-syarikat swasta seperti agihan air, bekalan elektrik dan lain-lain. Ia diserahkan kepada pihak swasta dengan alasan-alasan tertentu sebagaimana yang berlaku di negeri-negeri seluruh Malaysia. Ini menyebabkan rakyat mengeluarkan belanja yang besar bagi memperolehi keperluan asas ini. Ini ditambah pula dengan rejim
percukaian GST yang baru diperkenalkan. Jika dulu hanya sepuluh peratus pekerja Malaysia membayar cukai, kini semua rakyat dibebankan dengan GST.

Di Malaysia, sistem ekonomi yang menindas rakyat dikesan sejak daripada zaman penjajahan British lagi. Dasar ekonomi penjajah yang diamalkan pada ketika itu telah memberi satu tamparan hebat kepada
rakyat. Baik golongan Melayu dan Bumiputera yang terus menjalankan kegiatan ekonomi tradisional, mahupun masyarakat Cina yang menjadi pekerja lombong dan India yang menjadi pekerja ladang, semua ditindas sedangkan penjajah British mendapat untung.

Kini, secara disedari atau tidak amalan kapitalisme kroni yang berlaku di negara kita di bawah rejim UMNO-BN telah menyebabkan
ketidakseimbangan dalam kehidupan masyarakat. Ada sebilangan kecil yang hidup senang lenang sedangkan masih ramai lagi yang hidup miskin dan merempat. Ada yang hidup di banglo mewah, namun masih ada yang hidup di penempatan yang tiada keperluan asas bekalan air dan elektrik yang sempurna. Apabila melakukan urusan perniagaan pula, terdapat kaum pemodal yang menggunakan kudrat orang lain dan menindas mereka yang bekerja dengan memberi gaji yang tidak setimpal. Malahan ada juga yang lebih mementingkan kroni-kroni mereka dalam penganugerahan tender dan
kontrak dan tidak memberi peluang yang adil kepada masyarakat lain di negara ini. Perkara ini bakal mengundang kesengsaraan kepada usahawan muda yang baru menceburi bidang perniagaan untuk kekal lama kerana gagal merebut peluang dan pengalaman yang diperlukan.

Di Malaysia juga berlaku senario di mana pemodal tempatan dan antarabangsa enggan menaikkan upah tenaga buruh hanya kerana ingin melipat gandakan keuntungan perniagaan. Gaji bagi kaum buruh dibayar pada paras minimum, walaupun hakikatnya pemodal tadi telah mendapat
keuntungan kasar yang maksimum. Faedah-faedah berupa perubatan dan
lainnya telah di’rampas’ dengan alasan menjimatkan kos. Disebabkan
gaji yang dibayar tidak setimpal, maka warga tempatan enggan untuk
bekerja. Para pemodal kapitalis tempatan dan luar negara ini pula
mengambil jalan mudah dengan mengimport tenaga buruh daripada negara
lain. Akibat desakan hidup di negara asal, sudah tentu tenaga buruh
luar ini tadi tidak kisah jika dibayar dengan upah yang murah.
Cita-cita untuk menaikkan taraf kehidupan warga tempatan akan terus
gagal, malahan ada yang semakin merosot taraf kehidupannya. Warga yang
tidak berduit, tidak mungkin akan berbelanja, secara tidak langsung akan menyebabkan ekonomi negara semakin tidak berkembang.

Tidak cukup dengan itu, ada majikan yang melakukan khidmat luaran atau
‘outsourcing’, iaitu mengupah orang luar dengan upah yang rendah untuk melakukan pekerjaan yang dahulunya dilakukan dalam negara. Bila ini berlaku, maka sekali lagi masyarakat akan kehilangan pekerjaan kerana kerja yang sepatutnya dilakukan oleh warga tempatan telah diberikan kepada warga luar negara.

Bank-bank turut mengambil kesempatan dalam ekonomi kapitalisme ini dengan memberikan kemudahan pinjaman kepada individu yang berpotensi untuk gagal membayar balik pinjaman tersebut. Bagi pihak bank, jika risiko pinjaman yang diberikan kepada seseorang individu itu tinggi, maka tinggilah juga keuntungan yang akan diperoleh oleh pihak bank itu. Lantas ini dijadikan alasan oleh pihak bank untuk sewenang-wenangnya meluluskan permohonan kad kredit atau pinjaman bank tanpa mempedulikan gaji bulanan atau baki wang simpanan peminjam itu sendiri. Sekiranya hutang pinjaman tersebut gagal dibayar dalam tempoh yang di tetapkan, maka kadar bunga yang di kenakan akan meningkat dan
ia akan mendatang keuntungan kepada pihak bank.

Maka saya menyeru rakyat khususnya orang ramai untuk turun beramai-ramai menolak ekonomi yang menindas dan sistem cukai rakus GST esok di Himpunan 1 Mei sempena Hari Pekerja.

Selamat Hari Pekerja

Hidup Pekerja! Hidup Rakyat!

Fasyarini Azahari
Exco Angkatan Muda Keadilan Pusat, Ketua Biro Pekerja
Exco AMK Selangor, Ketua Biro Wanita Muda
Naib Ketua AMK Ampang