PERUTUSAN KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI 1436 H

15 Jul PERUTUSAN KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA SEMPENA HARI RAYA AIDIL FITRI 1436 H

Dengan baki beberapa hari sahaja lagi sebelum Syawal menjelang, saya ingin mengucapkan Alhamdulillah, segala kesyukuran ke hardrat Allah s.w.t. yang telah memberi kita peluang untuk beribadah selama sebulan di bulan Ramadhan.

Sebulan sudah kita berpuasa, menjalani pelbagai ujian rohani dan fizikal berteraskan pengawalan serta didikan diri supaya menjadi insan yang penuh kesabaran dan berakhlak mulia dalam usaha mendekatkan lagi diri kepada Allah s.w.t., di samping mendapatkan keredhaan-Nya.

Bulan Ramadhan merupakan kurniaan Allah s.w.t. yang tiada bandingnya dengan bulan-bulan yang lain. Sepanjang bulan ini, dengan izin Allah s.w.t., suatu proses penambahbaikan berlaku pada diri kita, menjana perubahan positif untuk menjadi seorang Muslim yang sejati.

Di dalam keadaan umat Islam sekarang yang sering dilemparkan dengan pelbagai persepsi negatif, kita terus komited kepada ajaran Islam dengan mengabdikan diri selama satu bulan penuh dengan ibadah kepada-Nya serta mencerminkan sifat sederhana dan rendah diri umat Islam yang sebenar. Ibadah puasa itu juga memberi peluang untuk kita mentarbiyyah diri agar beristiqamah dengan tuntutan Allah s.w.t. dan menjauhkan diri daripada sikap-sikap keji yang sentiasa menjadi penghalang kepada kejayaan Islam itu sendiri.

Kini, Syawal pula hampir tiba dan ia kebiasaannya disambut dengan kalimah “Min Al Aidin Wa al-Faidzin” yang memberi erti
“(semoga) termasuk dari orang-orang yang kembali sebagai orang yang menang”. Ucapan ini sering kali didengari tatkala umat Islam menyambut Aidil Fitri di Malaysia, kerana ia menandakan sebuah sambutan bagi kemenangan umat Islam yang telah berjaya mengharungi ujian di bulan Ramadhan.

Lazimnya, dalam syiar meriahnya sambutan Aidil Fitri serta besarnya jiwa kemenangan itu, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum sama-sama dijemput meraikan perayaan ini tidak kira bangsa dan agama.

Syawal merupakan bulan terbaik untuk menerapkan nilai perpaduan di dalam setiap lapisan masyarakat Malaysia. Pada sambutan Aidil Fitri tahun ini, marilah kita sama-sama memperkasakan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang sesama Islam dan juga yang bukan Islam, dengan matlamat untuk meneguhkan lagi asas kemasyarakatan sesama kita, bagi mengekalkan negara Malaysia yang aman dan makmur.

Dalam pada itu, kita hendaklah insaf mengenangkan saudara-saudara kita yang kurang berkemampuan dan terpaksa mengharungi kehidupan dhaif sama ada di dalam Malaysia mahupun di luar. Mari sama-sama mendoakan semoga mereka juga memperoleh keberkatan dan kemudahan daripada Allah s.w.t. di bulan yang mulia ini.

Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf zahir dan batin, serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada sekalian umat Islam di Malaysia.

Semoga negara Malaysia sentiasa diberkati Allah s.w.t.

Eid Mubarak.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN