Penolakan tuntutan i-BR1M Tidak Munasabah, Kar Hing Gesa Kerajaan Siasat dan Jelaskan

15 Jan Penolakan tuntutan i-BR1M Tidak Munasabah, Kar Hing Gesa Kerajaan Siasat dan Jelaskan

Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) didapati gagal memberi perlindungan kepada rakyat yang layak apabila banyak tuntutan yang telah ditolak atas sebab “tidak menamakan waris” oleh pihak Takaful. ADUN Simpang Pulai, YB Tan Kar Hing mendesak Kementerian Kewangan agar menyiasat dan seterusnya memperbetulkan masalah ini, memandangkan ianya melibatkan kepentingan rakyat dan jumlah premium setinggi RM197 juta yang ditanggung oleh kerajaan.

Kar Hing mengkritik cara pengendalian sebegini yang telah menafikan hak orang-orang yang dilindungi di bawah skim insurans berkenaan iaitu semua penerima BR1M 2014 kategori isi rumah, di samping menguntungkan syarikat insurans secara tidak langsung.

“Dalam proses permohonan BR1M 2014, pemohon tidak pernah sama sekali dikehendaki untuk menamakan waris kepada skim insurans tersebut. Menurut pengumuman rasmi oleh pihak kerajaan pula, tuntutan boleh dibuat oleh pasangan, anak, ibu bapa dan adik-beradik penerima BR1M dengan mengemukakan bukti hubungan”

Maka, beliau berpendapat bahawa adalah tidak munasabah bagi pihak Takaful untuk menolak tuntutan keluarga penerima BR1M yang berjaya mengemukakan semua dokumen yang diwajibkan termasuk bukti hubungan. Ini telah menyebabkan insurans tersebut hilang makna kerana tidak dapat memberikan perlindungan seperti yang diwar-warkan.

Kar Hing berkata demikian semasa mengadakan sidang media bersama Ahli Parlimen Gopeng, YB Dr. Lee Boon Chye bagi membawa isu ini kepada perhatian orang ramai. Turut hadir termasuk Setiausaha Politik ADUN Simpang Pulai, Sandrea Ng serta Ketua Wanita KEADILAN Gopeng, Asma Mahidin.

Kar Hing yang juga merupakan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN berkata, sebelum ini Naib Presiden KEADILAN YB Rafizi Ramli telahpun membongkarkan tentang ketirisan besar dalam skim i-BR1M di mana Kerajaan Persekutuan telah membayar lebih ratusan juta dalam bentuk keuntungan bersih kepada syarikat-syarikat insuran.

Kini bertambah pula dengan isu penolakan tuntutan, maka Kar Hing menggesa Kementerian Kewangan untuk mengkaji balik skim berkenaan serta memberikan penjelasan kepada rakyat dalam masa terdekat. Pihak berkuasa juga perlu memastikan agar masalah yang sama tidak akan berulang pada tahun ini memandangkan skim insurans tersebut akan melibatkan jumlah penerima BR1M yang lebih ramai tahun ini iaitu termasuk penerima kategori warga emas.

YB Tan Kar Hing
Naib Ketua AMK Malaysia
ADUN Simpang Pulai

karhing