PENDIRIAN PIMPINAN MUDA UMNO BERKAITAN TUDUHAN WALL STREET JOURNAL MENGECEWAKAN

06 Jul PENDIRIAN PIMPINAN MUDA UMNO BERKAITAN TUDUHAN WALL STREET JOURNAL MENGECEWAKAN

AMK kecewa dan dukacita dengan kedegilan pimpinan muda UMNO tertentu, terutamanya Khairy Jamaluddin dan Abdul Rahman Dahlan, yang bermati-matian mempertahankan Perdana Menteri Najib Razak berkaitan tuduhan Wall Street Journal bahawa RM2.67 bilion telah disalurkan ke akaun-akaun Perdana Menteri.

Reaksi mereka yang bulat-bulat menolak pendedahan tersebut nampak lebih aneh lagi apabila pimpinan UMNO yang lebih kanan seperti Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yasin dengan tenang dan lebih logik menggesa agar isu ini disiasat secara serius.

Nampaknya tindakan Khairy dan Rahman Dahlan menggambarkan bahawa mereka lebih khuatir tentang kedudukan politik mereka dan bukannya maslahat rakyat.

Reputasi mereka kononnya “terbuka”, namun jelas mereka bukanlah jenis pimpinan bagi disandarkan harapan oleh anak-anak muda yang mahukan perubahan.

Corak pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan penyalahgunaan kuasa pentadbiran UMNO-BN mesti dihentikan sama-sekali.

Kita tiada pilihan lain.

AMK menggesa agar isu akaun Perdana Menteri ini disiasat dengan serta merta. Sebarang salahlaku mestilah dihukum.

Rakyat Malaysia tidak sahaja memerlukan kerajaan baru yang dipilih secara demokrasi, tetapi juga reformasi institusi kerajaan.

Amanah dan wang rakyat tidak boleh disalahguna sepertimana selama ini.

AMK bersedia bekerjasama dengan semua anak muda progresif ke arah isu ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN