MYEG GANTI TUGAS JABATAN IMIGRESEN UNTUK KENAL PASTI SIAPA PENDATANG ASING TANPA IZIN. AHMAD ZAHID MESTI JAWAB KERAGUAN RAKYAT

10 Jan MYEG GANTI TUGAS JABATAN IMIGRESEN UNTUK KENAL PASTI SIAPA PENDATANG ASING TANPA IZIN. AHMAD ZAHID MESTI JAWAB KERAGUAN RAKYAT

Pada 7hb Jan 2015, saya bersama Ahli Parlimen Sungai Petani Dato’ Johari Abdul menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas isu penganugerahan kontrak pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sejumlah RM87.4 juta kepada syarikat swasta MyEG secara monopoli, Ahmad Zahid masih membisu sehingga hari ini.

Sementara menunggu penjelasan daripada pihak kementerian, saya sekali lagi terkilan dengan penjelasan syarikat swasta MyEG bahawa mereka juga diberikan tugas untuk membezakan pendatang asing yang sah dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mengikut penjelasan syarikat MyEG kepada Bursa Malaysia, tugas mereka termasuk untuk menggubal, mengenal pasti, menyelenggara, mengemaskini serta menganalisa pengkalan maklumat pekerja-pekerja asing di Malaysia.[1]

Saya amat terkejut dengan pendedahan ini kerana ianya membuktikan bahawa terdapat ketirisan yang teruk di bawah Jabatan Imigresen Malaysia sebelum ini, sehingga PATI bukan sahaja dapat menetap dan bekerja di Malaysia, mereka atau majikan juga dapat memperbaharui PLKS mereka sebelum ini!

Saya tidak faham mengapakah perkara ini boleh dibiarkan berleluasa bertahun-tahun, dan tiada sebarang tindakan ataupun langkah diambil. Kelonggaran dan ketirisan ini juga memberi gambaran seolah-olah terdapat unsur korupsi dan penyelewengan oleh mereka yang berkuasa.

Yang lebih menyedihkan adalah percubaan menteri dan kerajaan UMNO/BN menolak tanggungjawab ini kepada syarikat swasta secara monopoli sehingga mereka bakal mengaut keuntungan sebanyak RM87.4 juta daripada rakyat.

Ini belum lagi mengambil kira risiko pembocoran maklumat imigresen dan bakal mengancam keselamatan serta kedaulatan negara. Mengapakah pembaharuan PLKS dan pembersihan PATI mesti ditugaskan luar kepada syarikat swasta dan tidak boleh dikendalikan oleh Jabatan Imigresen sendiri? Mengapakah rakyat terpaksa membayar sebanyak dua kali, iaitu sekali kepada Jabatan Imigresen dan sekali lagi kepada MyEG?

Saya memberi tempoh 3 hari kepada Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi untuk memberikan penjelasan kepada orang awam sebelum saya membawa kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

YB Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat