MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PENGGANTUNGAN ‪#‎UIA2‬

14 Aug MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA PENGGANTUNGAN ‪#‎UIA2‬

Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak pengurusan tertinggi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang telah menggantung Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) berkenaan isu penganjuran forum GST dan menjemput Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Hukuman yang terlampau berat itu, hanya kerana memberi ruang kepada seorang ahli Parlimen untuk berdiskusi perihal GST, amatlah mendukacitakan. Ini kerana ia bukan sahaja melanggari prinsip kebebasan akademik, tetapi ia juga memberi kesan kepada kehidupan dua orang pimpinan mahasiswa.

Apakah pihak Universiti tidak memikirkan kebajikan dan masa depan anak muda ini? Bukankah kepentingan mahasiswa itu merupakan pertimbangan utama sebuah institusi pendidikan? Apakah kesalahan mereka begitu berat sehingga perlu menggantung pelajaran untuk sekian lama?

Saya rasa tidak salah jika saya katakan bahawa Rektor yang sedia ada sekarang ini merupakan antara yang paling menghampakan di dalam sejarah Universiti tersebut. Mengimbau kembali perilaku dan tindak balas beliau kepada beberapa perkara semenjak perlantikannya, ia seakan-akan Universiti tersebut sudah lebih ke belakang dari segi kebebasan akademik dan perkembangan ilmu. Dua perkara yang amat penting bagi sesebuah institut pengajian tinggi.

Sedangkan UIA pada suatu ketika dahulu adalah lebih terbuka, malah menggalakkan perkongsian ilmu tanpa mengira latar belakang penyampainya. Saya sendiri beberapa kali turut serta dalam forum di UIA.

Rektor yang sedia ada terlalu menitikberatkan faktor politik UMNO – daripada berusaha mempertingkatkan martabat Universiti yang
menampilkan moto “Taman Ilmu dan Budi”.

Saya menggesa pihak Universiti untuk menimbang semula keputusan tersebut dan membenarkan kedua-kedua pelajar tersebut untuk menyambung pelajaran serta-merta. Saya juga ingin menyarankan agar UIA memulihkan kredibiliti Universiti dengan memberikan keutamaan semula kepada kepentingan akademik dan pelajar.

Cukup-cukuplah mencalarkan reputasi sebuah institusi akademik yang dahulunya disegani ramai, tiada manfaat yang baik jika terus-menerus berpaksikan dasar dengan politik UMNO yang kolot.

NIK NAZMI NIK AHMAD
EXCO PENDIDIKAN, PEMBANGUNAN MODAL INSAN, SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI SELANGOR