KENALI AMK

Sejarah dan Latar Belakang AMK

Kepercayaan dan Ruang Kepada Anak Muda untuk Menyumbang Melalui KEADILAN.

Sebelum bertukar nama menjadi Angkatan Muda Keadilan sayap pemuda ini bergerak dengan nama Pemuda Keadilan Nasional dan dilancarkan pada masa yang sama Parti Keadilan Nasional dilancarkan iaitu pada 4 April 1999 oleh Presiden Parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail di Hotel Reinassance, Kuala Lumpur.   Ketua Pemuda yang pertama merupakan Sdr. Ezam Mohd Nor dan pada peringkat awalnya, Pemuda Keadilan mengambil peranan sebagai penggerak, penyedar, dan pendesak perubahan terhadap kepincangan sistem penghakiman dan ketidakadilan atas penghukuman penjara Dato Seri Anwar Ibrahim. Pemuda Keadilan pada masa itu mengambil langkah agresif, meluahkan perasaan melalui demonstrasi jalanan, ceramah penerangan dan pelbagai cara untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penghukuman politik dan fitnah ke atas Bekas Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.   Pemuda Keadilan juga konsisten menganjurkan demonstrasi jalanan bersama Gerakan Bebas Anwar (GBA) pada 14 April setiap tahun untuk memperingati tarikh Dato Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan. Demonstrasi yang lebih dikenali dengan nama “Black 14” berjaya mengumpulkan puluhan ribu rakyat Malaysia berbilang bangsa dan umur untuk mendesak kebebasan Dato Seri Anwar Ibrahim. Pada siri demonstrasi “Black 14” tahun 2000, kerajaan telah melakukan tangkapan ke atas beberapa pimpinan Pemuda Keadilan untuk melemahkan semangat sayap pemuda ini di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).   Pada tahun 2004, hasil penggabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia yang mempunyai kesinambungan perjuangan dengan perjuangan kemerdekaan progresif tanah air menerusi AMCJA-PUTERA, sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat diberi nama Angkatan Muda Keadilan. Selain itu, keanggotaan AMK adalah automatik kepada semua anggota parti, lelaki mahupun wanita, bawah 40 tahun. KEADILAN dan AMK mendapat suntikan semangat dengan pembebasan Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun yang sama.   Tiga tahun kemudian Sdr. Shamsul Iskandar Md Akin dipilih menjadi Ketua AMK. Sdr. Shamsul telah menumpukan ke arah pembinaan akar umbi AMK selepas Sdr. Ezam meninggalkan KEADILAN. Hasil proses ini, pada pilihan raya umum 2008, ramai calon-calon AMK daripada pelbagai kaum dan latarbelakang menjadi wakil rakyat.   KEADILAN telah meluluskan pindaan Perlembagaan parti pada Kongres Khas 2010 di mana had umur AMK diturunkan daripada 40 kepada 35 tahun untuk dilaksanakan dalam pemilihan parti yang berikutnya. Pada pilihan raya 2013, Ketua AMK telah menewaskan mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan menjadi Ahli Parlimen Bukit Katil.   Pada pemilihan parti 2014 yang memakai had umur baru, Sdr. Nik Nazmi Nik Ahmad dipilih menjadi Ketua AMK. Barisan kepimpinan AMK baru menekankan isu kepimpinan pelbagai bakat, latihan akar umbi dan AMK sebagai suara rakyat. AMK telah memainkan peranan utama dalam kempen Rakyat Hakim Negara untuk kes fitnah 2 Dato Seri Anwar dan #KitaLawan yang menuntut pembebasan Anwar, Perdana Menteri Dato Seri Najib Razak berundur dan pemansuhan cukai GST.

Pendekatan Angkaatan Muda KEADILAN:

1. Memberi kepercayaan dan ruang kepada anak muda untuk menyumbang melalui KEADILAN.

2. Menghimpunkan dan meraikan kepelbagaian bakat anak muda yang datang daripada pekerja dan profesional, mahasiswa dan aktivis ugamawan dan seniman.

3. Menyatukan anak muda tanpa mengira bangsa untuk bersifat terbuka, kritis, bebas, dan matang dari sudut politik dengan tujuan menjadikan AMK sebagai barisan hadapan parti yang lebih dihormati dan disegani kerana mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lawan mahupun kawan.

4. AMK sebagai barisan hadapan parti dari segi pentas intelektual, demonstrasi, akar umbi mahupun mencari calon-calon pilihanraya.

5. Membantu pembangunan karier di kalangan anggota AMK dengan khidmat nasihat dan mengenalpasti peluang-peluang pekerjaan yang ada dalam pelbagai agensi swasta dan Kerajaan

6. Memberi penekanan dan perhatian kepada para Mahasiswa KEADILAN di kampus-kampus seluruh negara termasuk penyertaan di dalam Pilihan Raya Kampus dan melibatkan Mahasiswa KEADILAN di dalam pelbagai program latihan dan ‘internship’ parti dan pimpinan parti.

7. Mewujudkan barisan anak muda yang cakna budaya, seni dan sukan dengan memperjuangkan hak atlet, seniman dan karyawan serta mewujudkan karnival karnival belia dan kejohanan sukan. Mengadakan pelbagai aktiviti interaksi dengan seniman, budayawan, atlet dan peminat bagi mengenalpasti is isu yang dihadapi.

8. Menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil, media massa serta kehakiman yang bebas, dan pasukan keselamatan yang mendukung prinsip-prinsip profesionalisme.

9. Memberi latihan sahsiah, rohani dan jasmani kepada pemuda-pemuda supaya bersedia menjadi pemimpin bila bila masa diperlukan.