INDIE: ISU BTN SEKALI LAGI MENGHANTUI KITA?

18 Jun INDIE: ISU BTN SEKALI LAGI MENGHANTUI KITA?

Sekali lagi isu Biro Tatanegara menghantui kita. Kali ini berkenaan isu pengisian program BTN yang telah tersebar luas di internet.

Menurut salah satu slaid itu, bahan sastera dan muzik “indie” menerap nilai anti-kerajaan dan mungkin mempunyai impak ke atas politik negara.

Saya sendiri berasa terkilan dengan pengisian tersebut, kerana bukan sahaja ia memberi gambaran bahawa rakan-rakan saya sendiri termasuklah Faisal Mustaffa, Adam Adli Abd Halim, Melati Rahim, Eekmal Ahmad, Dyana Sofya Mohd Daud, Dr Ahmad Farouk Musa and Amir Muhammad— adalah ancaman kepada keselamatan negara.

Dakwaan-dakwaan itu adalah terlalu lemah dan tidak mungkin diambil serius oleh sesiapa.

Tetapi apa yang lebih merisaukan adalah program BTN yang telah lama dianggap kontroversial kerana menggunakan retorik perkauman, semakin lama semakin menjadi-jadi pengisiannya.

Terdapat tiga perkara yang amat membimbangkan.

Perkara pertama adalah, seperti yang dinyatakan tadi, pengisian BTN yang berunsur perkauman.

Saya sendiri sebagai bekas penerima biasiswa syarikat GLC terpaksa melalui kursus BTN.

Pada masa itu saya sendiri sudah terfikir terdapat beberapa pengisiannya yang tidak masuk akal dan akhirnya menganggap kursus itu hanyalah membuang masa.

Lebih penting lagi wujud banyak juga perkara yang disampaikan oleh penceramah yang membuat saya gelisah.

Amatlah mengecewakan apabila mereka cuba untuk membuat orang Melayu semakin kurang percaya kepada orang yang bukan Melayu dan bukan Islam. Ini jelas memberi gambaran bahawa mereka cuba memecahbelahkan masyarakat.

Memang tidak boleh diterima sama sekali bahawa satu badan kerajaan – yang dibiayai oleh rakyat yang membayar cukai – sanggup untuk melaga-lagakan rakyatnya, terutamanya golongan muda. Ini bukanlah caranya untuk memberi semangat dan melindungi orang Melayu.

Malah, ini jelas bukan caranya untuk membina sebuah negara yang makmur.

Pada tahun 2009, saya dan beberapa Adun muda Pakatan telah menyarankan agar Kerajaan Negeri Selangor berhenti menghantar peserta-peserta daripada Setiausaha Kerajaan Negeri mahupun badan kerajaan ke BTN. Kerajaan Persekutuan telah berjanji untuk mengubah program BTN tetapi sehingga kini tiada apa-apa perubahan.

Keduanya, slaid itu amatlah mengejutkan kerana ia membuktikan bahawa BTN, dan Kerajaan Malaysia, sedikit pun tidak mengenali golongan muda Malaysia.

Slaid tersebut menggambarkan bahawa gerakan “indie” adalah satu konspirasi politik yang telah berkembang pesat.

Mereka juga cuba meletakkan setiap penulis, aktivis dan ahli muzik yang disebut di atas di dalam satu kumpulan yang sama, walaupun ia jelas tidak logik.

Sebenarnya mengapa BTN boleh jadi begitu naif?

Memang benar beberapa artis dan aktivis telah melibatkan diri dengan parti politik. Tapi itu iuga merupakan hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Adakah Umno lupa sindiran Seniman P. Ramlee terhadap parti itu di dalam filemnya? Adakah mereka lupa juga terdapat ramai golongan selebriti juga yang menyertai Umno dan BN? Setiap peminat dan pengundi akan menilai mereka berdasarkan sumbangan masing-masing.

Namun begitu, pernyataan bahawa gerakan “indie” ini berniat hendak menjatuhkan kerajaan adalah tidak berakal.

Sebenarnya terdapat ramai juga di kalangan mereka ini yang merupakan pengkritik keras PKR, DAP dan Pas.

Ini membuktikan bahawa kerajaan tidak memahami golongan muda Malaysia, serta budaya dan isu-isu yang mereka mahu ketengahkan.

BTN masih tersekat di zaman lampau dan mereka sudah tidak lagi relevan kepada generasi kini.

Slaid-slaid BTN itu menjadikan beberapa orang Melayu sendiri sebagai kambing hitam semata-mata kerana mereka tidak bersetuju dengan kerajaan sama ada di dalam perihal politik, ekonomi, sosial mahupun agama.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan Umno-BN bukan sahaja hendak memecahbelahkan masyarakat atas dasar bangsa, tetapi mereka juga cuba mengugut orang Melayu supaya hanya mengikut apa yang mereka mahukan.

Jikapun kerajaan tidak bersetuju dengan pandangan mereka, sepatutnya kerajaan mencari jalan untuk mendapatkan penyelesaian melalui dasar ideologi, dan bukannya menggunakan badan kerajaan.

Rakyat Malaysia perlu perhatikan aktiviti BTN secara serius. Orang Melayu adalah majoriti di dalam negara ini.

Disebabkan saiz demografi masyarakat Melayu, kesihatan dan keadaan minda serta budaya kita pastinya mempunyai kesan kepada negara.

Negara ini pasti menghadapi kesukaran sekiranya masyarakat Melayu tidak dibenarkan untuk berfikir dengan sendirinya dan menyatakan pendirian ke atas isu-isu penting.

Memang benar tamadun-tamadun dahulu jatuh oleh kerana masyarakat yang berpecah belah.

Tapi mereka juga rapuh kerana kurangnya toleransi dan penutupan minda serta hari mereka.

Bercanggah pendapat bukan bermakna tidak setia.

Mencintai seseorang atau sesuatu itu – sama ada bangsa, agama atau negara – juga bermaksud kesanggupan untuk menunjukkan kesalahan masing-masing.

Itulah sebenarnya erti cinta dan kesetiaan.

Badan seperti BTN tidak ada faedah sama ada untuk orang Melayu mahupun negara kita.

Sudah masanya kita hentikan pembaziran dan kerosakan yang ia lakukan kepada rakyat sendiri.

NIK NAZMI NIK AHMAD MERUPAKAN EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR, KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA DAN ADUN SERI SETIA