Harga Saham FGV Menjunam Harga Terendah dalam Sejarah, Kerajaan Pahang Rugi RM478.66 Juta!!

28 May Harga Saham FGV Menjunam Harga Terendah dalam Sejarah, Kerajaan Pahang Rugi RM478.66 Juta!!

Buat kali pertama harga Saham Felda Global Venture telah menjunam kurang daripada RM2. Harga terendah dalam sejarah tercatat semalam iaitu hanya RM1.92 sahaja.

Dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang memegang 5% saham Felda Global Venture, ataupun bersamaan dengan 182 juta unit sahamnya. Nilai buku saham berkenaan pada tahun 2013 adalah RM829,954,466.25. Harga pasaran saham pada ketika itu adalah RM4.55 seunit. Namun, nilai saham FGV telah jatuh secara mendadak sejak beberapa bulan ini, dan telah mencatat nilai terendah semalam di Bursa Malaysia, iaitu hanya bernilai RM1.92 sahaja.

Bagi peneroka yang telah membeli 800 unit saham dengan membayar RM3,560 semasa ianya disenaraikan, nilai tersebut hanya tinggal RM1,536 sekarang, bermakna, pemegangnya sudah rugi RM2,024. Tambahan lagi, ramai peneroka yang membeli saham tersebut melalui pinjaman.

Bagi Kerajaan Pahang, ini bermaksud nilai saham pegangannya hanya bernilai RM349,440,000. Kerugian yang tercatat adalah sebanyak RM478,660,000, ataupun 2.5 kali ganda Anggaran Perbelanjaan Mengurus (RM185.09 juta) Negeri Pahang untuk tahun 2015.

Saya faham bahawa Felda merupakan asset penting dan sentimental bagi Pahang, dan kerajaan UMNO/BN membuat pelaburan saham berkenaan, mungkin dengan niat untuk menjana pendapatan. Namun, keputusan tersebut kelihatan kurang tepat sehingga warga Pahang mungkin terpaksa menanggung kerugian beratusan juta atas kesilapan kerajaan ini.

Memandangkan nilai pelaburan adalah begitu besar dan memberikan kesan mendalam terhadap kewangan negeri, saya minta penjelasan Kerajaan Negeri seperti berikut:
1. Adakah pembelian saham 5% oleh Negeri Pahang tersebut melalui pinjaman bank?
2. Pihak manakah yang mewakili Negeri Pahang untuk menguruskan pelaburan Felda Global Venture?
3. Apakah strategi Kerajaan Pahang untuk berhadapan dengan kemerosotan nilai pelaburan Felda Global Venture?
4. Apakah strategi Kerajaan Pahang untuk membantu peneroka yang mengalami kerugian?

Lee Chean Chung
ADUN Semambu
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

amkcc