ANGKATAN MUDA KEADILAN MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN KASAR POLIS TERHADAP PEMBANTAH GST

25 Mar ANGKATAN MUDA KEADILAN MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN KASAR POLIS TERHADAP PEMBANTAH GST

Saya sangat terkejut dengan tangkapan beramai-ramai peserta Gabungan Bantah GST semasa mereka menjalankan protes terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Jabatan Kastam di DUN saya di Kelana Jaya semalam. AMK mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kasar yang dilakukan pihak polis.

Semalam lebih 80 orang ditahan di balai polis Kelana Jaya termasuk mereka yang cuba disuraikan oleh polis anti rusuhan kerana berkumpul di luar balai untuk memberikan sokongan.

Dilaporkan bahawa pihak polis telah bertindak secara provokatif terhadap khalayak yang berhimpun.

Tindakan demikian tentulah berlebihan dalam menyuraikan perhimpunan yang umumnya berlangsung secara aman.

Pada masa yang sama, adalah tidak adil apabila pihak polis kelihatan cuba menafikan hak mereka yang ditahan untuk mendapatkan peguam.

Pihak polis sepatutnya memberikan fokus utama melindungi orang ramai dan menyelesaikan masalah jenayah berbanding menangani perbezaan pandangan dalam dasar-dasar awam.

Semua 106 soalan yang dikemukakan oleh Gabungan ini adalah sah dan mesti dijelaskan segera oleh pihak kerajaan.

Insiden terkini hanya menunjukkan mengapa Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar perlu segera meletakkan jawatan sebagai tindakan awal untuk mengurangkan pencabulan terhadap kebebasan asasi kebelakangan ini.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA, ANGKATAN MUDA KEADILAN
AHLI DEWAN NEGERI SERI SETIA