AMK MENGUTUK HUKUMAN MATI TERHADAP PIMPINAN IKHWANUL MUSLIMIN MESIR

18 May AMK MENGUTUK HUKUMAN MATI TERHADAP PIMPINAN IKHWANUL MUSLIMIN MESIR

AMK amatlah kecewa dengan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas pemimpin-pemimpin dan para aktivis Mesir, termasuklah Presiden yang telah digulingkan, Mohamed Morsi, Pemimpin Kanan Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan ulama’ tersohor Dr Yusuf Al Qaradawi (seorang tokoh Ma’al Hijrah Malaysia) di atas beberapa tuduhan.

Malah, terdapat 105 orang lain yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Mesir.

Seperti yang dinyatakan oleh Amnesty International di dalam kes
Presiden Morsi, “Menjatuhkan hukuman mati ke atas Mohamed Morsi selepas perbicaraan yang tidak adil hanya memperlekehkan hak asasi manusia. Beliau telah dihukum walaupun belum sempat menjejak kaki ke mahkamah. Beliau telah ditahan berbulan-bulan tanpa bayang, dan tidak mendapat pengawasan kehakiman, malah tidak diwakili peguam semasa soal siasat. Hal-hal ini jelas mencerminkan bahawa perbicaraan ini adalah sandiwara semata-mata berdasarkan prosedur yang tidak sah.”

Saya juga bersetuju dengan kutukan keras Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan, yang menyatakan, “Mesir sudah berubah menjadi Mesir zaman purba”. Beliau juga berhujah bahawa negara-negara Barat terus buat tak endah berkenaan rampasan kuasa Sisi dan hanya mampu melihat hukuman yang melampau di Mesir ini walaupun di negara sendiri mereka menghapuskan hukuman mati.

Malang sekali, masih belum terdapat sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Malaysia untuk mengutuk hukuman mati tersebut. Adakah ini kerana kerajaan BN berasa malu dengan penyalahgunaan mahkamah undang-undang tersendiri?
Tambahan pula, perkara ini berlaku pada masa yang sama dengan krisis kemanusiaan Rohingya di Asia Tenggara di mana Malaysia masih belum bertindak mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan.

Sikap acuh tak acuh oleh Pengerusi ASEAN dan ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini adalah amat mengecewakan.

Ini jauh berbeza dengan tradisi kita memperjuangkan keadilan di Afrika Selatan, Palestin, Bosnia Herzegovina, Negara Thai dan Filipina.

AMK menggesa kerajaan Malaysia untuk menekan kerajaan Mesir agar menarik semula hukuman-hukuman mati tersebut dan menggalakkan usaha ke arah pendamaian politik yang berkesan. Pada masa yang sama, kerajaan juga harus menggerakkan usaha serantau untuk menamatkan keganasan dan penindasan ke atas komuniti Rohingya di Myanmar dan mencari penyelasaian kemanusiaan di dalam isu pelarian itu.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN MALAYSIA