AMK DESAK SIASATAN PENUH TERHADAP PEMBELIAN HARTANAH MARA DI MELBOURNE

23 Jun AMK DESAK SIASATAN PENUH TERHADAP PEMBELIAN HARTANAH MARA DI MELBOURNE

AMK memandang serius laporan di media Australia dan Malaysia bahawa seorang pegawai kanan dari MARA, dan seorang ahli politik terlibat di dalam amalan rasuah berkaitan pembelian hartanah bernilai AUD22.5 juta (RM65 juta) di Melbourne.

Wujud dakwaan bahawa nilai hartanah yang dimaksudkan, Dudley International House, ditingkatkan sebanyak AUD4.75 juta (RM13 juta).

Sebagai balasan pembelian hartanah tersebut, didakwa AUD4.79 juta dijanjikan sebagai “yuran pengenalan dan perundingan” kepada sebuah syarikat dorman di Singapura. Syarikat itu dikaitkan dengan dua tokoh Malaysia – Pengerusi MARA Inc dan bekas ADUN Sabah Lan Allani dan seorang Ketua Eksekutif MARA Halim Rahman.

Sekiranya tuduhan-tuduhan ini benar, adalah amat mengecewakan memandangkan ia melibatkan bukan sahaja wang rakyat malah reputasi MARA, sebuah institusi penting bagi masyarakat Bumiputera selama ini.

MARA telah banyak menyumbang kepada pembangunan masyarakat Bumiputera dan Malaysia selama ini.

Justeru amatlah tidak patut bagi sebuah institusi awam seperti MARA melibatkan dirinya di dalam urusniaga hartanah yang begitu besar nilainya ketika wang tersebut boleh digunakan untuk meningkatkan biasiswa untuk pelajar ataupun kemudahan bagi usahawan-usahawan tempatan. MARA juga dikatakan terlibat di dalam urusniaga-urusniaga hartanah mencurigakan di seluruh Melbourne.

AMK mendesak diadakan siasatan yang penuh dan bebas terhadap perkara ini.

Jika sebarang kesalahan dibuktikan, pihak yang terlibat mestilah
berhadapan dengan tindakan undang-undang.

Sekiranya tuduhan ini tidak benar, kita menjangkakan agar MARA dan individu-individu terlibat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh mereka bagi mempertahankan nama baik mereka yang tidak ternilai.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN